16 February 2017

Gunung Kinabalu - Perjalanan Ke Puncak.

untuk membaca bahagian pertama klik di SINI.

"Eh! Zuria." Aku tengok Zuria berdiri di muka pintu, mukanya sedikit keletihan tapi terlihat riak-riak lega. Semestinya lega kerana akhirnya tiba juga di Laban Rata ini. Aku melihat kalau-kalau mereka yang lain berada di belakang Zuria atau masih di luar. Tapi tiada siapa pun yang kelihatan. Jelas Zuria seorang saja yang baru sampai.

"Mana Adam?" Aku mahukan kepastian.
"Dekat belakang." Zuria mula melangkah masuk.
"Shy dengan Hilmi?" Tanya aku lagi.
"Dia orang lembap sangat. Malas nak tunggu. Zuria jalan dulu la." Eceh! Balasnya separa berlagak.

Hairan juga sebenarnya kenapa bukan Shy dan Hilmi yang sampai dulu. Tapi Zuria? Tapi awal-awal tadi macam power konon. Mana pulak Nik Adam? Zuria meninjau-ninjau sekitar bilik, memilih-milih katil dan menjengguk kamar mandi. Sambil itu kami berbual-bual tentang perjalanan yang baru ditempuh tadi. Tak lama selepas itu selang 30 minit, sedang kami berbual-bual, lebih kurang jam 3.30 petang Hilmi terpacul di muka pintu.

"Hoh! Sejuk! Sejuk!" Rungutnya. Terus memilih katil dan masuk berselubung bawah comforter. Pendakian ke Gunung Kinabalu ni agak manja juga sebenarnya. Di setiap pondok hentian sepanjang perjalanan tadi telah disediakan tandas, dan ada paip dari air sungai. Maka kita boleh mengisi semula botol yang kosong, jadi sebenarnya tak perlu bawa air putih dalam kuantiti dan botol yang banyak. Aku tak tahu hal tersebut, jadi aku awal-awal aku dah menyediakan dua botol besar dan satu botol kecil air mineral untuk bekalan, ternyata menambah berat beg digalas. Kemudian apabila tiba di guest house pula tersedia katil yang lengkap dengan bantal dan comforter. Ada kamar mandi yang ok dan kejap lagi makanan bakal tersaji di kafe Laban Rata. Tak perlu nak fikir apa-apa.


Sebenarnya di sini kami menginap di Lemaing Hut, sebuah bilik besar dengan 25 katil. Jadi ia sebenarnya adalah hostel. Namun Lemaing Hut ini ia hanya dikhususnya kepada warganegara sahaja, jadi semestinya ia jauh lebih murah berbanding bilik di Laban Rata Guest House. Cuma sewaktu hendak makan nanti kami harus ke kafe di Laban Rata Guest House di sebelah, yang terletak kira-kira ................. 20 langkah dari bilik kami. Tak lama selepas Hilmi tiba tadi, Shy pula tiba. Bila Shy juga sampai keseorangan jelaslah bahawa kami semua akhirnya dalam pendakian ini terpisah mengikut prestasi masing-masing. Yang kuat di depan, yang lemah di belakang. Hakikat.

"Aku jadi potter! Jadi potter!" Terang Nik Adam yang baru masuk ke bilik, tentang kenapa dia paling akhir, walaupun sumpah kami tak tanya. Ketika itu jam menunjukkan pukul 4.15 petang. Sebenarnya di dalam beg Nik Adam dia membawa banyak perkakas kamera yang dahsyat-dahsyat untuk merakam kenangan di puncak esok. Diulangi, untuk merakam kenangan. Beg Nik Adam juga lebih terisi kerana dia hanya menyerahkan sedikit saja muatannya untuk diberi kepada potter, selebihnya dia nak galas sendiri. Untuk latihan ke Everest Base Camp katanya. Sementara itu Shy sudah berdengkur, Hilmi terus berselubung. Nik Adam dan Zuria membuat 'give me five' atas kejayaan mereka hari ini. 

Tak tersangka bahawa kini kami telah berada di sini. Kami bukanlah pendaki gunung tegar dan hanya baru saja mendaki Broga untuk pertama kali pada bulan febuari 2016 yang lalu. Itupun mungkin kerana kami terpengaruh lepas tengok orang asyik up gambar naik gunung je kat instagram sekarang ni. Selepas Broga kami mendaki pula Gunung Datuk di Rembau, diikuti Gunung Irau di Cameron Highlands dan seterusnya Gunung Nuang melalui Janda Baik (trek mudah dan pantas). Akhir sekali 3 minggu sebelum flight ke Kota Kinabalu, kami melakukan regangan jungle treking sahaja di Bukit Gasing Petaling Jaya. Sekarang di bulan oktober kami sudah di atas awan di Laban Rata, lebih kurang 4 km lagi ke Low's Peak Gunung Kinabalu. Dalam aku mengelamun itu, akhirnya menghampiri jam 5 semakin ramai pendaki yang mula tiba, mereka mengambil tempat di katil-katil yang masih kosong. Keadaan yang awalnya tadi aku sampai begitu sepi sudah mula terisi dengan borak-borak mereka. Aku mencapai tuala untuk mandi sebelum yang lain-lain terfikir hal yang sama, dan menjadikan keadaan bilik air sesak.

Di kamar mandi di hadapan sinki aku melihat ke luar jendela yang tak bertutup, angin sejuk dari luar menerpa masuk, terlihat keindahan di atas awan dengan gunung-ganang yang berbalam hijau. Cantik. Tanpa berlenggah lagi aku segera memusing kepala pili menadahkan air. Segera molekul-molekul sejuk menyentak hingga ke kepala, tapi enak dan nyaman. Aku menyapu air yang lebih sejuk dari air ais batu itu ke seluruh muka, muka menjadi kebas tak terasa apa-apa. Hatta kalau ditoreh dengan pisau sekalipun pun rasanya masih tak sedar. Cepat-cepat aku menggunakan pencuci muka dan seterusnya memberus gigi. Mulut kebas. Masuk ke bilik air aku memulas tombol shower dan mandi sepuas-puasnya, bersabun, bersyampoo 'kelapa dan orkid saya nak balik duit saya'. Setelah selesai aku tadahkan air hingga penuh baldi dan kemudian merendam kaki hingga ke paras peha, supaya urat-urat dan sendi yang tadi mungkin mengalami radang akan sembuh dan kembali segar. 30 minit kemudian aku keluar, melihat semua pendaki lain masih berbaring di malas di katil.


Aku menyuruh Shy bangun dari tidur, dan mengajak mereka yang lain untuk bersiap segera menikmati makan malam di kafe. Hilmi bangun malas dari katil menuju ke singki untuk membasuh muka. Dia pasang air, tadahkan tangan. 

"Woi! Sejuk!" Pekik Hilmi kuat-kuat. Cepat-cepat dia keluar semula.
"Kau dah gila ke mandi?" Hilmi tanya separa marah pada aku. Entahkan tanya entahkan marah, atau entahkan dia dah gila. Malas aku nak layan. Akhirnya dia berpusing-pusing tanpa arah tuju dalam bilik dan merunggut sendirian.

"Aku taknak mandi! Aku taknak mandi! Aku taknak mandi". Jeritnya berulang kali hinggakan semua pendaki lain yang berada dalam bilik tu, gelak-gelak kecil sambil berbisik sesama mereka melihat gelagat Hilmi. Aku sendiri pun pelik, Hilmi budak Subang Jaya yang aku kenal berbeza dengan Hilmi yang di Laban Rata sekarang ni. Hilmi budak Subang Jaya ni seorang yang pendiam, tak suka bercakap banyak dan berat mulut. Tapi di sini dia mula mengeluarkan split personalitinya.

"Siapa yang suruh kau mandi?!" Nik Adam membalas bila Hilmi dah makin bising.
"Kau! Kau jangan paksa aku mandi! Jangan!" Hilmi memberi amaran pada Nik Adam sambil menunjuk-nunjuk ke muka Nik Adam.
"Siapa paksa kau?!" Adam semakin bengang.
"Jangan paksa aku. Aku taknak mandi. Taknak mandi" Getus Hilmi seorang diri lagi. Sah dia dah gila. Dia gila bila berada di tempat yang tinggi aku agak.

Kemudian Zuria pula pergi mandi. Melihat tindakan Zuria itu Hilmi mula makin bengang dan tak keruan. Sementara itu dilihatnya Nik Adam mula merendam nestum dengan air panas.

"Kau minum apa tu?" Suaranya sedikit lembut kali ini.
"Nestum. Ni kau amik ni, bancuh dengan air panas. Baru tak sejuk." Sambil Nik Adam mencampak sepeket nestum segera padanya.

Hilmi menyambut. Ambil mug dan menuang ke dalam. Kemudian dia bergerak ke jug elektrik untuk mengambil air panas. Tapi kemudian dia datang semula.

"Tapi ni tak payah bubuh air panas pun boleh kan? Makan je la macam ni kan? Lagi senang." Kata Hilmi.

"Jadah apa kau ni? Orang bubuh air panas nak bagi hangat badan je, bukannya nak minum sangat. Tadi kau yang kata sejuk."

"Oooo...", jelaslah Hilmi makin kompius dengan dirinya.

Akhirnya Zuria keluar dari bilik air, selesai mandi dan tergigil-gigil kesejukan.


"Ni mandi betul-betul ke olok-olok?" Hilmi wajahnya curiga.
"Betul-betul la, ada ke pulak olok-olok". Balas Zuria sambil menahan ketar.
"Tu la, orang dah cakap jangan mandi! Kan dah sejuk! Lantak kau situ." Marah Hilmi. Sementara Zuria pula mula menjadi kompius dengan Hilmi. Dia yang sejuk, tapi Hilmi pulak yang kecoh.

Akhirnya selain aku dan Zuria, kesemua mereka dalam bilik tu termasuk pendaki lain mengambil keputusan untuk tak mandi. Basuh muka pun tidak. Nampaknya Hilmi berjaya mempengaruhi 21 pendaki yang lain. Setiap ada orang yang nak masuk ke bilik air dia akan memberi amaran bahawa air itu sangat sejuk hingga boleh menyebabkan mati. "Kau nak mati? Ha?" Tanyanya. Tanpa disedari Hilmi menjadi popular dengan begitu cepat dikalangan semua pendaki dalam Lemaing Hut ini.  Kalaulah ini kem bina diri antara sekolah-sekolah sah dia dah terpilih menjadi ketua.

Lebih kurang jam 5 petang kami bergerak ke kafe, aku terjumpa semula sekumpulan gadis pendaki dari Eropah siang tadi, mereka sudah selesai makan dan hanya duduk berborak sambil menghirup kopi 'o' panas dan Teh Sabah. Melihat aku di mukapintu, mereka senyum dan melambaikan tangan. Aku berbasa-basi sekejap dengan mereka, bertanyakan keadaan dan bagaiman feelnya sekarang. Selepas itu aku bergerak ke arah buffet yang terhidang. Aku malas nak berborak panjang-panjang sangat, lagipun aku tak suka bercakap bahasa penjajah ni sangat. Bukan aku tak faham, cuma aku takut dia orang nanti yang tak faham. Aku mengambil pinggan dan mencedok makanan yang telah terhidang ala buffet.


Aku makan agak banyak berbanding Shy yang selalunya pelahap. Pelahap hingga dia pernah diblacklist dari memasuki sebuah kedai makan ala buffet bayar RM 40 makan sampai mati. Itu lantaran kerana dia bayar RM 40, tapi makan melebihi RM 400. Tapi kali ni Shy, sepinggan makaroni pun tak habis. Aku sengaja makan banyak. Pertama kerana kononnya untuk karbo loading bagi pendakian esok pagi nanti, biar bertenaga sihat dan cerdas bagaikan seorang remaja. Tapi yang kedua sebenarnya aku memang kebulur. Kan siang tadi aku tak membawa apa-apa bekal makan macam dia orang, teguk air kosong je. Untuk balas dendam aku hayun ayam goreng, ayam masak lemon, nasi goreng, bihun goreng, carbonara, rona-roni makaroni, kentang goreng  dan sup cendawan cicah roti Perancis. Sambil enak menikmati makanan, kadang-kala terdengar gelak ketawa gadis Eropah di meja sebelah kami.


Selesai makan kami cepat-cepat keluar dari kafe menuju ke sebuah kawasan lapang berbatu untuk menghayati keindahan gunung ganang, kerana sebentar lagi hari akan gelap. Sewaktu hendak keluar di pintu terlihat seorang pendaki yang baru tiba dipapah oleh guidenya. Dia kelihatan terlalu lemah, tak bermaya kemudian melepaskan muntah. Terfikir juga aku, rupanya pendakian tadi bukanlah mudah untuk semua orang.

Di luar udara sejuk begitu menggigit, tambahan aku hanya memakai celana pendek nipis dengan t-shirt berlenggan pendek. Suhu ketika itu menghampiri '0' darjah celcius. Hilmi dah mula bising-bising mengajak kami semua masuk lantaran tidak tahan dengan kesejukan, tapi aku menahan sebelum kami mengabdikan momen-momen ini dalam foto, yang lain juga bersetuju. Hilmi akur. Jadah apa datang jauh-jauh, penat-penat panjat lepas tu haram tak bergambar. Sementara Adam set-up kamera aku berlari-anak melayan kesejukan. Hilmi diam berdiri memeluk tubuh seerat mungkin, memerhati tindak-tanduk aku dengan hati yang membara.



Hilmi makin lama makin tertekan dan mula meracau-racau seorang diri. Dia mula bercakap hal-hal yang pelik seolah-olah ada orang yang berbalas cakap di hadapannya, apabila ditegur dia menjadi berang. Sekejap-sekejap dia seolah-olah melambai tangan ke arah hutan di bawah bukit. Khuatir dengan keadaan itu, tambahan hari pun makin gelap kami mengambil keputusan untuk masuk ke dalam bilik saja.

“Esok jangan kejut aku, aku taknak naik, aku nak tidur je, aku taknak naik”, kata Hilmi namun tiada siapa yang mengendahkannya. Sepanjang waktu itu berkali-kali dia mengulangi ayat yang sama. Esok jangan kejutkan dia, jangan ajak dia naik, jangan paksa dia mandi dan jangan macam-macam lagi. Dalam pada itu aku mengambil gel sapu Sloan dan menyapu ke seluruh pergelangan kaki hingga ke lutut. Setelah disapu dengan banyak pun masih tak terasa panasnya. Menurut Shy itu bagus, tandanya otot-otot aku masih belum cedera dan tiada apa yang yang perlu diubati maka gel Sloan itu belum bertindak balas. Aku tak pasti sejauh mana kebenarannya, namun memandangkan Shy adalah seorang jurulatih renang yang berjaya dan telah melahirkan ramai atlet, maka aku hadam je kata-katanya. Nak membantah pun aku bukan tahu sangat pasal sains dan anatomi badan manusia ni.

Malam itu sekitar jam 7 malam semua dah mula melelapkan mata. Dan... akhirnya sesuatu yang sangat aku takuti terjadi juga, Shy berdengkur, dan katil dia di sebelah katil aku. Berkali-kali aku cuba paksa untuk tidur namun gagal. Akhirnya setelah agak lama, Shy berhenti berdengkur. Aku rasa lega dan cuba untuk tidur. Sedang aku baru terlena... tiba-tiba kedengaran bunyi enjin motorbot. Makin lama makin dekat dan makin kuat bunyi motorbot itu. Aku terkejut lalu bangun... mencari dari mana datangnya motorbot tersebut. Akhirnya aku jumpa, dari mulut Shy. Makin membobok-bobok berdengkur. Siap keluar berbuih-buih lagi. Celaka betul. Nik Adam dan Hilmi nampaknya begitu lena, manakala Zuria kerap menukar posisi tidurnya, dan kadangkala dia tidur duduk dengan meletakkan bantal di atas peha.

Bunyi motorbot nampaknya tidak berkesudahan, badan aku makin lemau dan dapat rasakan betapa seksanya esok sebab tiada tenaga. Aku tak dapat nak recharge langsung. Tiba-tiba bunyi motorbot berhenti, mungkin dah sampai ke pantai. Aku kembali cuba untuk terlena, tapi kemudian entah ke berapa kali aku terperanjat lagi. Shy berborak-borak dalam tidur, kuat sekali. Aku hilang sabar, aku bangun pergi ke katilnya, aku tarik bantal aku tumbuk muka dia laju-laju. Dush! 

Cepat-cepat aku baring semula dan berpura-pura tidur. Shy kelam kabut bangun sambil tercungap-cungap ketakutan mencari di kiri dan kanan macam orang bingung.

"Apa tu? Apa tu?" Tanya Shy kelam kabut entah pada siapa. Puas hati aku. Hambik kau. 

Akhirnya jam 1.30 pagi semua orang mula bangun dari tidur, kecuali aku. Aku hanya bangun dari katil. Mata terkebil-kebil kepedihan. Dalam hati aku mendidih geram.

"Aduh.... pening kepala la..." Shy mengadu sebaik bangun dan bersila atas katil.
Kepala junud dia la pening. Aku macam nak pecah kepala dia tak tahu.

Setelah kami semua bangun namun Hilmi masih berpura-pura tidur. Konon-kononnya belum terjaga. Shy mengejutkan Hilmi.

"Kau orang pergi la. Aku taknak naik." Hilmi bersuara lemah. Namun akhirnya dia terpaksa akur setelah didesak. Perlahan-lahan bangun dari katil. Untuk pendakian pagi ini kami masing-masing hanya membawa beg kecil, yang cukup untuk mengisi sebotol air dan beberapa keperluan lain. Adam juga menyediakan beg kecil untuk kameranya.

Jam 2 lebih pagi itu kami melangkah masuk ke kafe, kelihatannya telah ramai dan semua sedang menikmati hidangan lewat malam. Shy, Hilmi, Adam dan Zuria masing-masing mengambil sepinggan makanan. Aku tiada selera untuk makan, hanya minum teh sabah panas dan makan coklat energy bar. Shy masih mengadu sakit kepala. Katanya tak lena tidur. Kepala hangguk dia.

"Aku rasa bilik kita tu berhantu la." Shy bersuara separa berbisik.
"Kenapa?" Nik Adam bertanya curiga.
"Malam tadi...." Shy seakan ingin bercerita namun kemudian terhenti.
"Apa dia?" Hilmi.
"Malas la nak cerita." Shy memberi alasan.
"Ek eleh! Tanak cerita tapi cakap. Macam bapok." Hilmi memancing.

"Malam tadi... aku rasa macam ada benda dekat dengan katil aku. Lepas tu dia pukul aku." Shy bercerita dengan berhati-hati.

Aku terus menghirup teh Sabah yang panas berasap-asap. 

Di kafe sebagai persiapan aku memakan sekeping coklat energy bar dan mengambil ubat tahan sakit untuk lutut, kerana ia bila-bila masa akan menyerang nanti tanpa amaran. Makin lama keadaan kafe makin lenggang tanda telah ramai yang memulakan pendakian. Di atas kerusi berhampiran pintu Taising sudah menunggu, sementara kami mengambil masa yang lama untuk duduk-duduk lepak-lepak. Akhirnya tepat jam 3 kami memulakan pendakian menuju puncak.


“Eh, lampu aku tak nyala la”. Hilmi merujuk kepada lampu kepalanya. Aku berpatah balik cuba hendak membantu.

“Eh tak apa, korang jalan dulu.” Hilmi. Aku ambil lampunya dan buka. Kelihatan besi penebat bateri tercabut. Dalam 5 minit aku berjaya selesaikan dan lampu dapat menyala.

“Hah! Tak ada alasan lagi. Jom”. Aku berkata.  Hilmi menyeringai. Aku tak pasti masa bila dia cuba rosakkan lampunya itu. Apapun percubaan tersebut gagal. Nice try.

Pagi itu, tanpa pemanasan badan yang cukup dan pendakian mendaki tangga yang mencanak membuat aku senak. Shy dan Hilmi dah jauh di depan. Sementara aku, Zuria dan Nik Adam jauh dibelakang bersama Taising. Sekejap-sekejap kami berhenti untuk mengambil nafas melepaskan lelah. Ketika inilah baru aku menyesal dan berfikir, alangkah bagusnya kalau aku terus tidur di Laban Rata saja tadi. Aku mengelamun memikirkan kalau dah sampai atas nanti aku nak cepat-cepat turun kembali ke katil. Dapat lelap sejam, hatta 30 minit pun jadilah. Tapi berfikir juga sebenarnya, adalah lebih bagus kalau aku duduk di J-Resident saja bersama Zakiah, pergi tengok lembu susu dan makan murtabak kobis. Tak cukup murtabak kobis, order sayap ayam madu. Namun apakan daya, nasi sudah menjadi bubur. 

Keadaan yang gelap dengan mata yang pedih dan mengantuk membuat langkah aku makin perlahan. Beberapa kali juga aku terpejam mata secara automatis. Kadang-kadang sewaktu berhenti rehat kononnya aku akan memejamkan mata sekejap mencuri tidur. Nampaknya bukan dalam sembahyang je aku mencuri, tapi waktu mendaki gunung pun aku mencuri juga. 

Akhir dalam keadaan mengantuk dan lengguh kami mendaki tangga kami tiba juga Sayat-Sayat Hut, KM 7. Aku lihat jam menunjukkan hamir 4.30 pagi. Shy dan Hilmi dan telah tiba lebih awal sedang duduk berehat sambil menunggu kami. Di sini adalah check point terakhir dan jika kami tiba melebihi jam 5 pagi, maka ada kemungkinan besar kami tidak dibenarkan meneruskan perjalanan dan disuruh berpatah balik. Maknanya jika lepas jam 5 pagi baru sampai, maka potensi untuk ke puncak adalah tipis. Kerana sebentar lagi jam 6 matahari akan terbit dan tak lama selepas itu pendaki akan mula turun untuk mengejar masa.
Kami berhenti berehat seketika di sini dan mengisi semula botol air yang telah kosong. 

Di sini merupakan tempat terakhir untuk para pendaki mengambil air dan selepas ini tiada lagi bekalan air hingga ke puncak. Shy dan Hilmi telah pergi terlebih dahulu, tak lama selepas itu Nik Adam dan Zuria pula meneruskan perjalanan. Sementara aku menjadi orang terakhir, aku sengaja berehat lebih lama sedikit dan buang air agar perjalanan selepas ini lancar. Taising seperti biasa mengikut orang yang terakhir sekali.

Dari Sayat-Sayat tiada lagi tangga, sebaliknya mula mendaki batu yang menjadi teras Gunung Kinabalu. Tali disediakan untuk mengimbangi badan dari terjatuh. Aku mula merasakan yang coklat energy bar tadi mula bertindak balas. Langkah aku menjadi laju dan kencang. Atau mungkin juga kerana tiada lagi tangga yang meletihkan, kecuali cerun-cerun batu yang harus didaki. Aku akhirnya berjaya mendekati Nik Adam dan Zuria.

“Ya Allah. Apalah aku buat ni?! 

Kedengaran Zuria entah mengeluh atau entah menyalah diri. Agak lucu tapi aku tak mampu untuk ketawa dan berkata apa-apa. Kemudian aku mula memintas Nik Adam dan Zuria dan memperkuatkan semangat bahawa aku akan berjaya. Di belakang kami cahaya matahari mula semakin terbit, sesekali aku menoleh kebelakang dan melihat betapa indahnya pemandangan Kundasang dari sini. Dihadapan KM 8 dan puncak gunung yang dibelakang not RM 1 lama tu sudah kelihatan. Itulah target aku. Shy dan Hilmi mula keletihan dan memperlahankan langkah, akhirnya aku berjaya dekat dengan mereka dan kami tiba bersama di KM 8 pada jam 6.00. Ku toleh lihat Nik Adam dan Zuria bersama Taising juga semakin hampir dan akan tiba tak lama lagi.

"Ah! Akhirnya kita berjaya." Kataku.
"Belum lagi. Belum lagi.  Tu ha puncak." Kata Shy sambil menunjuk Low's Peak di KM 9.
"Ha belum lagi? Habis tu ni apa?" Aku mula tak puas hati.
"Ni KM8, tu ha nampak semua orang pergi sana." Tunjuk Shy.
"Habis tu, ni yang dalam duit tu." Aku makin panas.

"Tapi ni bukan puncak, puncak tu. KM 9. Ni sebab cantik je, sebab tu diaorang bubuh gambar ni dekat duit." Terang Shy.

Jibaok! Mati-mati aku ingat sampai dah. Mati-mati aku ingat yang dekat belakang duit tu puncak. Rupanya bukan! Jadi nampaknya takkan nak mendaki lagi?

Sementara tu Hilmi, "Nak naik ke tak ni." Mukanya penuh mengharap.
Mengharap agar aku dan Shy kata "cukuplah, kita turun," aku rasa.

Sedang kami berbalas-balas dan berkira-kira membuat keputusan itu Nik Adam dan Zuria tiba. Taising bersama mereka. Aku cadangkan sebelum kita buat apa-apa keputusan dulu elok kita tangkap gambar dulu dekat sini. Hari pun dah siang ni, kejap lagi nak turun. Aku minta Nik Adam mempersiapkan kamera. Namun Nik Adam dan Zuria diam berteleku duduk betul-betul di bawah signboard KM8 yang hampir runtuh itu. Setelah beberapa kali dipanggil Nik Adam macam tak acuh akhirnya kami gunakan i-phone saja. Aku suruh Shy berdiri elok-elok untuk aku gambar ambil dia.

Hasilnya.


Kemudian giliran aku pula untuk Shy yang ambilkan. Tanpa disuruh aku possing elok-elok biar aku di tengah-tengah gunung, dan yang tajam tu keluar di hujung kepala. Hasilnya...

Macam haram! Tangkap lagi sekali gambar aku dengan Hilmi pulak, sambil pegang bendera Selut Press.


Pun lagi macam haram!

Shy mendekati Taising di tempat Nik Adam dan Zuria berehat.

"Taising, kalau sampai sini saja kami boleh dapat sijil tak?" Tanya Shy.
"Boleh, tapi kau dapat sijil hitam putih, kalau kau sampai sana, kau dapat sijil ada warna." Taising memberi penjelasan, yang akhirnya beberapa hari kemudian kami mendapat tahu bahawa Taising tipu. 

"Sudahlah, kau orang turun saja la kita pergi breakfast, nanti jam 9.30 habis sudah." Taising memberi cadangan pada kami. Namun aku, Shy dan Hilmi dan masih berkira-kira samada mahu naik atau tidak. Shy berat kepada kami perlu naik walaupun perlahan kerana tinggal 1 KM saja lagi, namun 1 KM di puncak Gunung Kinabalu adalah tidak sama dengan 1 KM di Lebuhraya Utara Selatan. Manakala Hilmi tak kisah, nak turun pun boleh nak naik pun boleh, tapi sekali lagi dia ulang 'kalauuu nak turun pun bolehhhhhh'.

Melihat keadaan itu Taising bersuara lagi, "Sudahlah kau turun saja la. Nanti sampai bawah kau register terus naik lagi tahun depan. Panggil saya."

"Tapi aku nak sijil warna." Runggut Shy sendiri seraya mencebik.

Aku berfikir-fikir secara kritikal. Akhirnya aku menggalas semula beg dan berlari sekuat hati meluru ke KM 9.

"Celaka! Berlari! Woi." Shy menjerit dari belakang.

Aku berhenti dan menoleh, Hilmi sudah mula menggalas beg juga dan mengatur langkah. Aku menghamburkan suara dan menjerit ke udara terus berlari meluru ke depan. Masa ini perasaan aku berkecamuk antara maruah dan pengorbanan. Rasa mengantuk dah lama hilang cuma sekarang rasa beremosi, aku berfikir bahawa aku dah mendaki sejauh ini, puncak sudah kelihatan di depan dan kenapa aku harus mengalah. Lagipun kalau kawan-kawan nanti tengok tak ada satu pun di instagram aku up gambar aku di puncak, mana aku nak letak muka? Hilmi dan Shy mengikut jauh di belakang, manakala Nik Adam dan Zuria telah berpatah balik kembali turun ke Laban Rata. Nampaknya mereka membuat keputusan untuk tidak meneruskan ke Low's Peak. Aku agak sedikit kecewa dengan tindakan mereka, namun tak mengapalah dan nanti di KL pasti akan ada cerita yang menarik.

Kini aku tidak lagi mengikut trek yang telah sedia ada, kerana mengikut pemerhatian aku trek itu tidak menarik. Sebaliknya aku turun ke bahagian bawah, melalui bahagian tepi yang berjurang dan kemudian sampai di penghujung aku terus mendaki semula untuk ke puncak. Sewaktu ini aku bila melihat ke bawah aku nampak Nik Adam dan Zuria kembali mendaki, dibelakangnya Taising dan terdengar bunyi gendang perang sedang dipalu. Wah! Mereka menukar fikiran semula. Hilmi sudah agak jauh juga meninggalkan Shy. Shy nampaknya berjalan sekejap-sekejap dan berhenti, begitu juga Hilmi di depannya. 

Aku teruskan perjalanan dan mula merangkak mendaki batu-batu ke Low Peak. Ketika ini pendaki-pendaki lain telah mula turun. Untuk mengelakkan bertembung di laluan yang sempit dengan mereka, sekali aku mencari jalan lain yang sedikit berbahaya dengan memanjat batu-batu di tebing. Terdetik juga perasaan gayat apabila melihat kebawah, tapi aku cuba gagahkan dan kuatkan semangat. Hingga akhirnya jam 6.30 aku berjaya menjejakkan kaki di Low Peak.

Aku terkedu dan terdiam agak lama. Perasaan aku begitu terharu berada di atas ini. Seakan sebak kerana pertama akhirnya aku berjaya sampai, dan kedua melihat kepada indahnya ciptaan Tuhan. Aku bersendiri sekarang ini di puncak tanpa gangguan sesiapa. Namun setelah aku lama aku diam takjub memerhatikan keindahan ini aku terfikir untuk mengambil gambar, namun tiada siapa untuk membantu.





Di belakang sebelah kiri adalah tempat di mana aku turun ke bawah dan daki semula ke atas.

Di belakang aku sebelumnya adalah sebahagian dari puncak ini dan sekarang telah runtuh, jika dilihat ke bawah jelas kesan-kesan runtuhan dan serpihan batu.

Tak lama kemudian menghampiri jam 7 akhirnya Hilmi tiba. Bersama Hilmi juga ada beberapa orang pendaki lain yang tiba bersamanya. Akhirnya yang aku ketahui pendaki-pendaki dan tour guide mereka itulah yang bertemu dengan Nik Adam dan Zuria sewaktu mereka berpatah balik tadi, dan memberi semangat untuk teruskan pendakian. Hilmi tiba aku teruja, bermakna ada kawan untuk tolong mengambil gambar. Namun bila aku sampai, aku kecewa.

Hilmi tak memberikan apa-apa respon dan diam berteleku layan sejuk. Namun keadaan itu tak lama, entah apa yang mengejutkannya lama dari lamunan dia bingkas bangun.

Akhirnya pada jam 7.30 Shy, Nik Adam dan Zuria tiba ke Low's Peak. Taising nampaknya tak berjaya mempengaruhi kami untuk gagal. Pasti dia kecewa.

"Woi! Jom tangkap gambar. Lepas tu turun makan." Aku memberi saranan.
"Sabarlah kejap! Orang baru sampai ni!" Nik Adam melenting.

Hahahaha, dekat Gunung Kinabalu ni semua orang nak melenting je aku perasan. Jenuh jugak kami semua tunggu namun Nik Adam tetap tak keluarkan kamera dan lens-lens mahalnya. Akhirnya...

"Sudahlah, mari aku ambil gambar kau orang cepat. Nanti kita turun makan, nanti breakfast habis." Taising bersuara membantu. Namun nampaknya dia begitu khuatir jika hidangan makan pagi di Laban Rata habis. Tetapi bagi kami sarapan tidak menjadi masalah. Sarapan hari-hari ada, tapi berada di Puncak Gunung Kinabalu, hanya hari ini.


Gambar yang diambil oleh Taising.

"Oh Gunung Yang Agung! Sungguh kau ini agung." Kata Nik Adam seolah-olah dalam teater klasik Greek. Dia seperti ingin meneruskan lagi kata-katanya. Tapi...

"Sudahlah, mari kita turun. Nanti tak sempat kau makan sebelum jam 9.30." Balas Taising. Lagi.

Setelah agak puas, menghampiri jam 8 pagi kami bersiap untuk bergerak turun. Ketika ini ada satu group lagi yang baru tiba dan sedang berfoto di atas. Aku mendahului di depan sekali bergerak pantas, diikuti Shy, Hilmi, Zuria dan Nik Adam. Kami perlu mengejar masa untuk sarapan dan check out sebelum jam 10 pagi di Lemaing Hut. Jika terlewat setiap satu jam bayaran penalti yang agak mahal akan dikenakan. Ini kerana jika kami lewat check out, mereka juga akan lewat untuk mengemas katil semula dan mempersiapkan untuk mendaki baru hari ini. Maka penalti yang tak lojik sengaja dikenakan agar kami tak bersenang-senang di atas ini terlalu lama.

Shy dan Hilmi mendahului di depan, diikuti aku, Nik Adam dan Zuria. Kami sudah puas di atas ini, puas menikmati keindahan, puas melayan sejuk. Sewaktu turun dari Low's Peak semakin menghampiri semula di KM 8 secara tiba-tiba lutut kanan aku mula terasa sakit yang amat... aku dapat merasakan inilah masanya akan terjadi. Aku cuba bertahan, namun tahu aku takkan mampu. Langkah aku menjadi perlahan, perlahan, perlahan dan akhirnya aku terhenti tak dapat bergerak...


(bersambung ke bahagian 3 akhir ... penyeksaan turun ke Timpohon Gate)

1 comment:

Dewi Aja said...

Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
Jika ya, silahkan kunjungi website kami http://kbagi.com/ atau www.facebook.com/kumpulbagi/ untuk info selengkapnya.

Di sana anda bisa dengan bebas share dan mendowload foto-foto keluarga dan trip, music, video, filem dll dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)