Tiba di Lapangan Terbang Kota Kinabalu
kereta sewa Proton Exora dah menanti kami. Tempahan awal dibuat untuk kami sewa
sepanjang berada di sini dan pandu sendiri. Cukup buat kami enam orang, aku dan
isteriku Zakiah, Nik Adam dan isterinya Zuria, serta Hilmi dan Shy
masing-masing belum dapat beristeri. Kesian.
Dari lapangan terbang tanpa basa-basi
kami terus menuju ke Kundasang, perut pun kenyang lagi baru lepas makan dalam
flight tadi. Macam biasa menu pagi, pramugari akan beri nasi lemak dan sandwich
telur hancur-sosej. Sebaik pesawat berlepas Hilmi dah mula terkulat-kulat, muka
berkerut, kepala pening. Sepanjang perjalanan dia pejam tapi tak tidur, terkena
masalah altitude sicknes mungkin berpunca sebab tak makan sebelum berlepas.
Berbanding kami yang dah belasah mee goreng ayam pukul 6 pagi tadi di KLIA.
“Hilmi, kau tak makan ke?” Aku
“Tak apa, aku makan dalam flight je
nanti” Hilmi.
Paling enjoy selama perjalanan 2 jam
30 minit tadi adalah Shy. Sumbat telinga dengan earphone dan layan movie
apabendantah sambil mulut muncung-muncung kunyah sosej. Gelak berdekah-dekah.
Padahal tengok cerita bunuh-bunuh, tapi gelak. Nonsense.
Tengahari itu kami berhenti rehat dan
makan tengahari di Tamparuli. Tapi tak dapat jumpa Marsha. Dia tak balik
kampung. Kemudian Mak Cik yang meniaga dekat gerai tu punyalah ramah dan mesra,
“kami nak naik Gunung Kinabalu ni” jawab Nik Adam pada Mak Cik tu, padahal sumpah
haram Mak Cik tu tak tanya. Dalam nada Nik Adam tadi ada unsur-unsur dan bunyi
sedikit riak. Padahal aku rasa Mak Cik tu tak pedulik pun sebenarnya, tapi Mak
Cik tu tetap buat-buat macam terkejut dan kagum. “Selamat berjaya ya mendaki”
ucap Mak Cik sebelum kami pergi. Aku balas “Terima kasih, nanti balik kami
singgah lagi ya di sini makan,” yang sebenarnya bila balik nanti, kami tak
singgah pun gerai dia sebab sibuk beli ikan bilis mata biru di pasar Tamparuli.
Sebelah jambatan gantung yang masa nak dibina tu mereka terpaksa potong kepada
gadis yang cantik bernama Solungkoi, dan ditanam di situ untuk persembahan
kepada Tombuakar”. Yang dasyatnya, hantu air pun ada taste nakkan perempuan
yang lawa-lawa je jadi korban, untung perempuan tak lawa.
Sepanjang perjalanan selepas
Tamparuli kami diseliputi kabus tebal, hingga jarak penglihatan kurang dari 500
meter. Itu menyebabkan kami terhalang dari melihat keindahan pemandangan di
celah-celah gunung. Tapi kami teruja dengan situasi tersebut. Aku menyuruh Shy memberhentikan kereta di tepi jalan untuk mengambil gambar.
Setelah kamera siap di set-up. klik!
"Buat apa ambik gambar ni? Bukan nampak apa pun, kabus je." Getus Hilmi.
"La... memang la orang nak ambik gambar dengan kabus. KL mana ada kabus!". Marah Nik Adam.
Tiba di Kundasang lebih kurang jam 3 petang kami terus menuju resort yang telah ditempah. Semua
masuk ke bilik masing-masing dan aku macam biasa mandi untuk menyegarkan badan.
Pemandangan indah di situ dengan dinding bilik kaca menghadap hutan, membuatkan
aku rasa RM 70.00 untuk satu bilik yang besar dan selesa itu sebagai tak adil. Ini
tidak adil! Gila apa? Macam mana dia orang ni meniaga. Patut letak la harga 7
ribu ke satu malam. Baru la menangis bayar. Power kot. Tapi itulah lebihnya
menguruskan perjalanan sendiri berbanding guna agen mendaki Kinabalu. Dalam hal
ini Shy dipertanggungjawab sepenuhny,a bermula dari menempah permit terus dengan
Kinabalu Park, menempah kereta sewa, menempah flight, dan semua bilik kami
sepanjang berada di sini. Kesemuanya kami dapat yang terbaik dengan harga termurah.
Aku khuatir jika ambil pakej-pakej promosi mendaki yang ditawarkan, sekali dengan bilik dan pemandu pick-up di airport sebagainya tu kami dapat yang cincai-cincai je. Dan telahan aku betul bila
tengok resort-resot lain semuanya ntah apa apa. Tapi kalau pada kau ok, oklah
tak apalah. Cuma ada aku taste sikit la. Jalan jauh-jauh, tidur tempat cikai-cikai ni aku taknak dah.
Jam 3.30 petang kami keluar semula
dari resort. Dan itulah lagi satu kelebihan sewa kereta sendiri berbanding agen
ambil di airport dan hantar terus ke resort. Kami boleh jalan-jalan. Pertama
kami recce dulu dekat mana nak daftar mendaki esok dan di mana pintu masuk,
seterusnya pusing-pusing di pekan Kundasang. Petang itu jam 6 di Pekan
Kundasang hari dah mula gelap, kabus semakin sedikit, dan tiba-tiba selepas
kabus berlalu muncul Gunung Kinabalu di depan kami. Ya Tuhan. Besar. Kami semua
terlopong mulut diam seketika. Pandang satu sama lain.
“Aku rasa aku macam tak boleh esok
ni”. Kata Nik Adam sambil mata terus tertumpu melihat kegagahan Gunung
Kinabalu.
“Tak apalah… kita cuba dulu tengok
takat mana kita boleh esok.” Shy bersuara positif.
“Tadi aku yakin… sekarang aku dah tak
yakin.” Suara aku ada nada gugup-gugup.
“Mak aih! Boleh ke ni?” Zuria.
“Fuck! Fuck! Fuck!” Hilmi.
Sepanjang perjalanan balik ke resort,
aku diam memikirkan hari esok macam mana. Aku tahu kemampuan aku, lutut aku
akan sakit gila di tengah perjalanan dan aku akan surrender turun sebelum
sampai Laban Rata. Ataupun aku akan sampai Laban Rata dan berehat terus di situ
dan tak ikut mereka terus ke puncak esok paginya. Dan sebelum mereka turun
semula ke Laban Rata aku akan bergerak turun dulu dalam jam 8 pagi, sebab aku
akan lambat gila bila lutut makin jammed.
Ataupun aku duduk saja di resort dan temankan Zakiah, yang membatalkan
pendakiannya sebab mengandungkan anak kami, dan bersiar-siar bagi lembu makan?
Semua itu bermain-main dalam fikiran aku. Untuk mendakinya, Gunung Kinabalu
kelihatan sangat ganas dan gagah pada aku. Sementara itu Nik Adam masih
mengeluh menyalahkan aku yang memberi idea untuk kami semua mendaki Gunung
Kinabalu. Shy masih dengan “kita cuba takat mana kita mampu, kalau tak larat
kita turun balik.” Sementara Hilmi, terus “Fuck! Fuck! Fuck!”. Anak muda
membesar di Subang Jaya, biasalah suka mencarut.
Esoknya Zakiah hantar kami ke
Kinabalu Park, jam 8 pagi kami selesai semua urusan pendaftaran, lakukan
regangan dan tepat jam 9.00 kami mula mendaki melalui Timpohan Gate dengan
seorang guide. Pada masa ini hanya Timpohan Gate dibuka manakala Mersilau Gate
ditutup semenjak tragedi runtuhan Gunung Kinabalu. Guide kami itu namanya Taising
dan sudah agak berumur.
Pendakian bermula dengan Shy di depan, macam biasa dia
yang paling dipercayai kebolehan fizikal dan staminanya, kedua Hilmi anak muda
yang segar dan lincah. Diikuti Zuria, Nik Adam dan aku anak muda yang berjiwa
besar. Taising dibelakang sekali. Rule mereka adalah ; berjalan di belakang
orang paling akhir.
Perhentian pertama kami di KM 1,
Kandis Shelter. Seperti biasa untuk 1 KM pertama ini memang agak mencunggapkan
memandangkan badan masih belum panas lagi. Seterusnya di KM 2 kami sekali lagi
berhenti dan kali ini aku mula makan Energy
Bar dan turut mengagihkannya pada mereka. Selepas KM 2 kami mula terpisah
sedikit. Shy dan Hilmi semakin hilang di depan, mereka seakan berlari di awal
pendakian ini. Gila babi! Makan babun apa dia orang ni?
Seterusnya di KM 3 kami berkumpul
semula menghilangkan dahaga, melepaskan lelah dan berborak tentang pengalaman
setakat ini. Masa itu aku tengok jam tepat 11.00 pagi. Nik Adam dan Zuria mula
mengeluarkan bekal mee gorengnya dan melahap. Sementara Shy dan Hilmi pula
berhajat untuk makan di perhentian seterusnya dan aku memang tak membawa
apa-apa bekal makanan selain energy bar
dan sebotol mineral.
Selepas itu perjalanan diteruskan,
Shy dan Hilmi terus laju di depan, manakala aku keseorangan mendaki di tengah
dan pasangan Zuria dan Nik Adam di belakang sekali bersama Taising. Selepas KM
3 aku tidak lagi berhenti dan hanya minum sambil mendaki, akhirnya tepat jam 12
aku, Shy dan Hilmi tiba bersama di Layang-Layang Hut. Di Layang-Layang Hut, Shy
dan Hilmi mula kelihatan semakin letih dan mereka berhenti rehat, sementara aku
pula meneruskan perjalanan seorang diri ke depan.
Selepas Layang-Layang Hut langkah aku
dirasakan semakin laju, namun trek selepas Layang-Layang Hut sebenarnya makin
mencabar dengan batu-batu yang semakin besar, jarak yang luas dan pendakian
yang makin menegak. Tiba di KM 4.5 aku mengeluarkan dan menelan 2 biji pain killer bagi mencegah sakit lutut
datang dengan cepat. Selain pain killer aku juga menyediakan krim sapu Sloan
dan spray Tiramisu. Sakit lutut itu pasti tapi sekurangnya aku berharap ia
boleh ditangguhkan sedikit supaya jangan terlalu awal.
Sebenarnya kegembiraan mendaki Gunung
Kinabalu mula aku rasakan selepas Layang-Layang Hut, sungguhpun makin
mencanak dan meletihkan namun ia mengujakan. Pemandangan di sepanjang
pendakian kian cantik dan mengagumkan. Sekarang kedudukan aku sudah di
dalam awan dan di atas awan, trek terhias dengan pokok bunga hutan renek yang lawa.
Pada masa ini begitu sukar untuk menemukan pendaki lain, mungkin kerana mereka masih di
bawah ataupun di depan terlalu jauh. Maka aku gagal untuk
mengabdikan momen-momen tersebut di dalam foto, lagipun aku masih berpegang
pada prinsip untuk tidak selfie. Kini aku sudah mula tidak terlalu serius
mendaki untuk menikmati pemandangan sekeliling. Gunung-ganang
berbalam begitu cantik. Akhirnya aku sandarkan i-phone di celah-celah pokok
renek, set timer dan berlari ke depan untuk berposing.
Di Villarosa Shelter aku bertemu
dengan Gadis Pendaki dari Hong Kong. Dia menunjukkan pada aku gambar tumbuhan
periuk kera. Berkali-kali aku mengajarnya menyebut dengan betul.
“Periuk kera.” Kataku.
“Peliyo kela.” Katanya. Lantaklah.
Aku pun teruskan perjalanan.
Bermula Pondok Paka aku mula mendaki
bersama sekumpulan gadis dari Eropah. Disebabkan kelajuan kami agak sama maka
aku terus terjoin mereka, dan kami perjalanan banyak hal kami perkatakan. Dia bertanya aku datang dari mana. Aku jawab Kuala Lumpur. Katanya mereka tak pernah lagi ke Kuala Lumpur. Aku cakap datang la, nanti di semenanjung Malaysia boleh daki lagi beberapa gunung yang lain, memang tak setinggi Gunung Kinabalu, tapi pemandangan dan pengalaman mendakinya nanti berbeza. Aku jawab gunung di Semenanjung terkenal dengan Mossy Forestnya. Mereka jawab, ok, nanti akan cuba.
Akhirnya
tanpa sedar kami tiba di Laban Rata. Dan rupanya kami grup terawal yang tiba
pada hari tersebut. Aku lihat jam lagi beberapa minit ke jam 2. Aku ambil kunci
bilik dan masuk berehat. Fuh! Lega dan puas rasanya. Keadaan sangat sejuk menghampiri '0' darjah celcius. Aku
mengambil peluang untuk baring di atas katil menyorok bawah selimut.
Sambil-sambil itu aku berfikir, jika mengikut prestasi hari ini aku yakin jam 2 pagi nanti aku akan berjaya ke puncak. Tapi aku tak yakin aku akan berjaya turun dengan cemerlang. Apapun confident level aku memang mendidih sekarang ni. Sikit pun tak rasa letih, mungkin kerana kesan energy bar tadi masih ada, dan sebab itu juga aku cuba lelapkan mata tapi tak berjaya. Akhirnya aku ambil keputusan untuk meninjau-ninjau sekitar Laban Rata. Setelah puas aku kembali ke bilik.
Lama aku termenung dan mengelamun... tepat jam 3 pintu bilik tiba-tiba dikuak. Cahaya luar menerobos masuk menyilaukan mata. Di muka pintu berdiri susuk tubuh seorang wanita.
BERSAMBUNG di part 2. Perjalanan ke puncak.
No comments:
Post a Comment