26 January 2017

GUNUNG KINABALU – Kami Datang, Kami Nampak, Kami Tawan.

Tiba di Lapangan Terbang Kota Kinabalu kereta sewa Proton Exora dah menanti kami. Tempahan awal dibuat untuk kami sewa sepanjang berada di sini dan pandu sendiri. Cukup buat kami enam orang, aku dan isteriku Zakiah, Nik Adam dan isterinya Zuria, serta Hilmi dan Shy masing-masing belum dapat beristeri. Kesian.

Dari lapangan terbang tanpa basa-basi kami terus menuju ke Kundasang, perut pun kenyang lagi baru lepas makan dalam flight tadi. Macam biasa menu pagi, pramugari akan beri nasi lemak dan sandwich telur hancur-sosej. Sebaik pesawat berlepas Hilmi dah mula terkulat-kulat, muka berkerut, kepala pening. Sepanjang perjalanan dia pejam tapi tak tidur, terkena masalah altitude sicknes mungkin berpunca sebab tak makan sebelum berlepas. Berbanding kami yang dah belasah mee goreng ayam pukul 6 pagi tadi di KLIA.

“Hilmi, kau tak makan ke?” Aku
“Tak apa, aku makan dalam flight je nanti” Hilmi.

Paling enjoy selama perjalanan 2 jam 30 minit tadi adalah Shy. Sumbat telinga dengan earphone dan layan movie apabendantah sambil mulut muncung-muncung kunyah sosej. Gelak berdekah-dekah. Padahal tengok cerita bunuh-bunuh, tapi gelak. Nonsense.

Tengahari itu kami berhenti rehat dan makan tengahari di Tamparuli. Tapi tak dapat jumpa Marsha. Dia tak balik kampung. Kemudian Mak Cik yang meniaga dekat gerai tu punyalah ramah dan mesra, “kami nak naik Gunung Kinabalu ni” jawab Nik Adam pada Mak Cik tu, padahal sumpah haram Mak Cik tu tak tanya. Dalam nada Nik Adam tadi ada unsur-unsur dan bunyi sedikit riak. Padahal aku rasa Mak Cik tu tak pedulik pun sebenarnya, tapi Mak Cik tu tetap buat-buat macam terkejut dan kagum. “Selamat berjaya ya mendaki” ucap Mak Cik sebelum kami pergi. Aku balas “Terima kasih, nanti balik kami singgah lagi ya di sini makan,” yang sebenarnya bila balik nanti, kami tak singgah pun gerai dia sebab sibuk beli ikan bilis mata biru di pasar Tamparuli. Sebelah jambatan gantung yang masa nak dibina tu mereka terpaksa potong kepada gadis yang cantik bernama Solungkoi, dan ditanam di situ untuk persembahan kepada Tombuakar”. Yang dasyatnya, hantu air pun ada taste nakkan perempuan yang lawa-lawa je jadi korban, untung perempuan tak lawa.


Sepanjang perjalanan selepas Tamparuli kami diseliputi kabus tebal, hingga jarak penglihatan kurang dari 500 meter. Itu menyebabkan kami terhalang dari melihat keindahan pemandangan di celah-celah gunung. Tapi kami teruja dengan situasi tersebut. Aku menyuruh Shy memberhentikan kereta di tepi jalan untuk mengambil gambar.

Setelah kamera siap di set-up. klik!


"Buat apa ambik gambar ni? Bukan nampak apa pun, kabus je." Getus Hilmi.
"La... memang la orang nak ambik gambar dengan kabus. KL mana ada kabus!". Marah Nik Adam.

Tiba di Kundasang lebih kurang jam 3 petang kami terus menuju resort yang telah ditempah. Semua masuk ke bilik masing-masing dan aku macam biasa mandi untuk menyegarkan badan. Pemandangan indah di situ dengan dinding bilik kaca menghadap hutan, membuatkan aku rasa RM 70.00 untuk satu bilik yang besar dan selesa itu sebagai tak adil. Ini tidak adil! Gila apa? Macam mana dia orang ni meniaga. Patut letak la harga 7 ribu ke satu malam. Baru la menangis bayar. Power kot. Tapi itulah lebihnya menguruskan perjalanan sendiri berbanding guna agen mendaki Kinabalu. Dalam hal ini Shy dipertanggungjawab sepenuhny,a bermula dari menempah permit terus dengan Kinabalu Park, menempah kereta sewa, menempah flight, dan semua bilik kami sepanjang berada di sini. Kesemuanya kami dapat yang terbaik dengan harga termurah. Aku khuatir jika ambil pakej-pakej promosi mendaki  yang ditawarkan, sekali dengan bilik dan pemandu pick-up di airport sebagainya tu kami dapat yang cincai-cincai je. Dan telahan aku betul bila tengok resort-resot lain semuanya ntah apa apa. Tapi kalau pada kau ok, oklah tak apalah. Cuma ada aku taste sikit la. Jalan jauh-jauh, tidur tempat cikai-cikai ni aku taknak dah.

 


Jam 3.30 petang kami keluar semula dari resort. Dan itulah lagi satu kelebihan sewa kereta sendiri berbanding agen ambil di airport dan hantar terus ke resort. Kami boleh jalan-jalan. Pertama kami recce dulu dekat mana nak daftar mendaki esok dan di mana pintu masuk, seterusnya pusing-pusing di pekan Kundasang. Petang itu jam 6 di Pekan Kundasang hari dah mula gelap, kabus semakin sedikit, dan tiba-tiba selepas kabus berlalu muncul Gunung Kinabalu di depan kami. Ya Tuhan. Besar. Kami semua terlopong mulut diam seketika. Pandang satu sama lain.

“Aku rasa aku macam tak boleh esok ni”. Kata Nik Adam sambil mata terus tertumpu melihat kegagahan Gunung Kinabalu.
“Tak apalah… kita cuba dulu tengok takat mana kita boleh esok.” Shy bersuara positif.
“Tadi aku yakin… sekarang aku dah tak yakin.” Suara aku ada nada gugup-gugup.
“Mak aih! Boleh ke ni?” Zuria.
“Fuck! Fuck! Fuck!” Hilmi.

Sepanjang perjalanan balik ke resort, aku diam memikirkan hari esok macam mana. Aku tahu kemampuan aku, lutut aku akan sakit gila di tengah perjalanan dan aku akan surrender turun sebelum sampai Laban Rata. Ataupun aku akan sampai Laban Rata dan berehat terus di situ dan tak ikut mereka terus ke puncak esok paginya. Dan sebelum mereka turun semula ke Laban Rata aku akan bergerak turun dulu dalam jam 8 pagi, sebab aku akan lambat gila bila lutut makin jammed.  Ataupun aku duduk saja di resort dan temankan Zakiah, yang membatalkan pendakiannya sebab mengandungkan anak kami, dan bersiar-siar bagi lembu makan? Semua itu bermain-main dalam fikiran aku. Untuk mendakinya, Gunung Kinabalu kelihatan sangat ganas dan gagah pada aku. Sementara itu Nik Adam masih mengeluh menyalahkan aku yang memberi idea untuk kami semua mendaki Gunung Kinabalu. Shy masih dengan “kita cuba takat mana kita mampu, kalau tak larat kita turun balik.” Sementara Hilmi, terus “Fuck! Fuck! Fuck!”. Anak muda membesar di Subang Jaya, biasalah suka mencarut.

Esoknya Zakiah hantar kami ke Kinabalu Park, jam 8 pagi kami selesai semua urusan pendaftaran, lakukan regangan dan tepat jam 9.00 kami mula mendaki melalui Timpohan Gate dengan seorang guide. Pada masa ini hanya Timpohan Gate dibuka manakala Mersilau Gate ditutup semenjak tragedi runtuhan Gunung Kinabalu. Guide kami itu namanya Taising dan sudah agak berumur. 


Pendakian bermula dengan Shy di depan, macam biasa dia yang paling dipercayai kebolehan fizikal dan staminanya, kedua Hilmi anak muda yang segar dan lincah. Diikuti Zuria, Nik Adam dan aku anak muda yang berjiwa besar. Taising dibelakang sekali. Rule mereka adalah ; berjalan di belakang orang paling akhir.


Perhentian pertama kami di KM 1, Kandis Shelter. Seperti biasa untuk 1 KM pertama ini memang agak mencunggapkan memandangkan badan masih belum panas lagi. Seterusnya di KM 2 kami sekali lagi berhenti dan kali ini aku mula makan Energy Bar dan turut mengagihkannya pada mereka. Selepas KM 2 kami mula terpisah sedikit. Shy dan Hilmi semakin hilang di depan, mereka seakan berlari di awal pendakian ini. Gila babi! Makan babun apa dia orang ni?

Seterusnya di KM 3 kami berkumpul semula menghilangkan dahaga, melepaskan lelah dan berborak tentang pengalaman setakat ini. Masa itu aku tengok jam tepat 11.00 pagi. Nik Adam dan Zuria mula mengeluarkan bekal mee gorengnya dan melahap. Sementara Shy dan Hilmi pula berhajat untuk makan di perhentian seterusnya dan aku memang tak membawa apa-apa bekal makanan selain energy bar dan sebotol mineral.

Selepas itu perjalanan diteruskan, Shy dan Hilmi terus laju di depan, manakala aku keseorangan mendaki di tengah dan pasangan Zuria dan Nik Adam di belakang sekali bersama Taising. Selepas KM 3 aku tidak lagi berhenti dan hanya minum sambil mendaki, akhirnya tepat jam 12 aku, Shy dan Hilmi tiba bersama di Layang-Layang Hut. Di Layang-Layang Hut, Shy dan Hilmi mula kelihatan semakin letih dan mereka berhenti rehat, sementara aku pula meneruskan perjalanan seorang diri ke depan.

Selepas Layang-Layang Hut langkah aku dirasakan semakin laju, namun trek selepas Layang-Layang Hut sebenarnya makin mencabar dengan batu-batu yang semakin besar, jarak yang luas dan pendakian yang makin menegak. Tiba di KM 4.5 aku mengeluarkan dan menelan 2 biji pain killer bagi mencegah sakit lutut datang dengan cepat. Selain pain killer aku juga menyediakan krim sapu Sloan dan spray Tiramisu. Sakit lutut itu pasti tapi sekurangnya aku berharap ia boleh ditangguhkan sedikit supaya jangan terlalu awal.

Sebenarnya kegembiraan mendaki Gunung Kinabalu mula aku rasakan selepas Layang-Layang Hut, sungguhpun makin mencanak dan meletihkan namun ia mengujakan. Pemandangan di sepanjang pendakian kian cantik dan mengagumkan. Sekarang kedudukan aku sudah di dalam awan dan di atas awan, trek terhias dengan pokok bunga hutan renek yang lawa. Pada masa ini begitu sukar untuk menemukan pendaki lain, mungkin kerana mereka masih di bawah ataupun di depan terlalu jauh. Maka aku gagal untuk mengabdikan momen-momen tersebut di dalam foto, lagipun aku masih berpegang pada prinsip untuk tidak selfie. Kini aku sudah mula tidak terlalu serius mendaki untuk menikmati pemandangan sekeliling. Gunung-ganang berbalam begitu cantik. Akhirnya aku sandarkan i-phone di celah-celah pokok renek, set timer dan berlari ke depan untuk berposing.

 

Di Villarosa Shelter aku bertemu dengan Gadis Pendaki dari Hong Kong. Dia menunjukkan pada aku gambar tumbuhan periuk kera. Berkali-kali aku mengajarnya menyebut dengan betul.

“Periuk kera.” Kataku.
“Peliyo kela.” Katanya. Lantaklah. Aku pun teruskan perjalanan.


Bermula Pondok Paka aku mula mendaki bersama sekumpulan gadis dari Eropah. Disebabkan kelajuan kami agak sama maka aku terus terjoin mereka, dan kami perjalanan banyak hal kami perkatakan. Dia bertanya aku datang dari mana. Aku jawab Kuala Lumpur. Katanya mereka tak pernah lagi ke Kuala Lumpur. Aku cakap datang la, nanti di semenanjung Malaysia boleh daki lagi beberapa gunung yang lain, memang tak setinggi Gunung Kinabalu, tapi pemandangan dan pengalaman mendakinya nanti berbeza. Aku jawab gunung di Semenanjung terkenal dengan Mossy Forestnya. Mereka jawab, ok, nanti akan cuba.

Akhirnya tanpa sedar kami tiba di Laban Rata. Dan rupanya kami grup terawal yang tiba pada hari tersebut. Aku lihat jam lagi beberapa minit ke jam 2. Aku ambil kunci bilik dan masuk berehat. Fuh! Lega dan puas rasanya. Keadaan sangat sejuk menghampiri '0' darjah celcius. Aku mengambil peluang untuk baring di atas katil menyorok bawah selimut. 


Sambil-sambil itu aku berfikir, jika mengikut prestasi hari ini aku yakin jam 2 pagi nanti aku akan berjaya ke puncak. Tapi aku tak yakin aku akan berjaya turun dengan cemerlang. Apapun confident level aku memang mendidih sekarang ni. Sikit pun tak rasa letih, mungkin kerana kesan energy bar tadi masih ada, dan sebab itu juga aku cuba lelapkan mata tapi tak berjaya. Akhirnya aku ambil keputusan untuk meninjau-ninjau sekitar Laban Rata. Setelah puas aku kembali ke bilik.

Lama aku termenung dan mengelamun... tepat jam 3 pintu bilik tiba-tiba dikuak. Cahaya luar menerobos masuk menyilaukan mata. Di muka pintu berdiri susuk tubuh seorang wanita.


BERSAMBUNG di part 2. Perjalanan ke puncak.